Tuesday 6 March 2012

ANTARA DUA HATI

http://ummuhusna99.blogspot.com/2010/03/antara-dua-hati.html

Mulut saya terkumat kamit melafaz tasbih, tahmid dan takbir. Terasa tenang dan damai di hati ini kala kalimah-kalimah tayyibah itu dibaca bertali.

Subhanallah….walhamdulillah…..wala ilaha illallah..Allahu Akbar,” semakin asyik saya dengan alunan zikir yang dibaca, terasa semakin damai dan syahdu menyelinap ke dalam jiwa. Betapa indahnya saat bibir melantunkan kalimah memuji-Nya, hati menyambut. Penuh rasa bahagia. Sukma bergetar bersama kerinduan yang entah bila bertemu penghujungnya. Hanya DIA yang Maha Tahu. Justeru DIA yang menerbitkan kerinduan itu.

Subhanallah….walhamdulillah…wala ilaha illallah..Allahu Akbar.”

Kedengaran di telinga, Kak Long dan Kak Ngah turut mengikuti setiap lafaz yang dialunkan. Sesekali mereka melagukannya dengan suara yang kuat diiringi ketawa kecil. Masih belum mengerti dan memahami keindahan yang lahir dari patah-patah perkataan agung itu. Hati saya sedikit terusik. Tersentuh dengan gelagat anak-anak yang masih belum ‘masak’ dengan kehidupan dunia yang penuh warna.

Saya menoleh ke belakang. Mengerutkan sedikit raut muka sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tanda tidak suka.

MAKANAN HATI
Usai solat Maghrib berjamaah, saya membalikkan badan. Mengadap wajah bersih Kak Long dan Kak Ngah. Lama saya diam tanpa sedikit pun bersuara sambil memandang tepat ke anak mata mereka yang masih bersinar cerah.

Melihat perlakuan saya itu, Kak Long dan Kak Ngah saling berpandangan lalu tersenyum malu-malu. Mungkin mereka tahu bahawa teguran saya sebentar tadi akan dilanjutkan pula dengan kata-kata yang lebih berisi.

“Kak Long..tolong ambikan Ummi sehelai kertas putih, majalah dan pen hitam. Sebatang pun cukup,” saya berkata. Kak Long bingkas bangun.

“Ini..Ummi.” Kak Long menghulurkan barang-barang yang diminta. Saya menerima dengan ucapan terima kasih lalu meletakkan barang-barang tersebut di hadapan. Di tengah-tengah, betul-betul di antara saya, Kak Long dan Kak Ngah.

Sejurus, saya diam kembali. Berfikir untuk memilih pembuka kata yang sesuai buat peringatan anakanda berdua. Kak Long dan Kak Ngah sabar menanti bicara.

“Kak Long dan Kak Ngah ingat tak tazkirah Ummi tentang hati ?” saya memulakan dengan satu soalan.

“Tentang badan perlu makanan..begitu juga dengan hati..pun memerlukan makanan,” saya menambah perencah bayangan. Terlihat kedutan pada dahi kedua-duanya diikuti anggukan kepala mereka selang beberapa ketika.

“Kalau hati tak dapat makanan nanti dia sakit, kan Ummi ?” Kak Ngah melontar pertanyaan sekaligus menandakan telah ada sedikit kefahaman mengenai hati dan jiwa sebagaimana yang pernah saya sampaikan.

TITIK HITAM
“Alhamdulillah…betullah tu. Hati kita seperti tubuh luaran juga. Sangat perlu kepada makanan untuk kekal sihat dan kuat. Tapi apa contoh makanan untuk hati? Nasi ? Coklat? Ke tom yam?” Sekali lagi saya bertanya untuk mencungkil pengetahuan sedia ada kedua-duanya.

Sengaja saya selitkan sedikit jenaka untuk menarik perhatian mereka. Mendengar perkataan tom yam, menyeringai ketawa mereka berdua. Apa tidaknya, itu makanan kegemaran mereka.

“Solat dan membaca al Quran,” pantas Kak Long memberikan jawapan. Kali ini saya membalas dengan senyuman. “Selesai langkah pertama,” bisik saya.

“Sekarang Ummi nak Kak Long dan Kak Ngah tutup mata,” saya mengarahkan sambil tangan mengambil kertas putih, majalah dan pen hitam. Menggunakan pen berdakwat hitam itu, saya buatkan satu titik pada kertas putih dan satu titik lagi pada satu helaian muka surat pada majalah yang di atasnya penuh dengan coretan dan tinta hitam.

“Ok, boleh buka mata,” saya berkata sambil menyuakan kertas putih kepada anakanda berdua. Terpisat-pisat mereka melihat kertas putih di hadapan mata.

“Cuba Kak Long, Kak Ngah cari titik hitam pada kertas putih ni?” pinta saya. Mereka segera menunjukkan titik hitam yang tertera pada lembaran putih bersih itu. Saya tersenyum. Mereka juga tersenyum. Mudah!

“Baik..sekarang cuba cari titik yang sama pada majalah ini pula,” pinta saya seterusnya. Kak Long dan Kak Ngah mendekatkan majalah tersebut rapat ke muka. Terlihat kesukaran mereka menemukan titik serupa pada majalah di hadapan mata. Namun percubaan mencari diteruskan sehingga akhirnya, mereka mengalah. Mereka gagal mencarinya. Payah dan susah!

HATI YANG HITAM
Saya menggosok kepala kedua-duanya sambil tersenyum puas. Langkah kedua berakhir, menyusul pula langkah ketiga.

“Kak Long dan Kak Ngah tahu apa bezanya. Kenapa.. lebih mudah melihat titik yang ada di atas kertas putih berbanding titik pada majalah yang bertulis?” saya bertanya untuk menguji pemahaman mereka.

“Sebab kertas putih ni kosong..senang la nampak titik yang satu ni je..”jawab Kak Long bersahaja. Kak Ngah menganggukkan kepala mengiyakan jawapannya.

“Bagus..tepat sekali jawapan Kak Long. Ummi sekadar membuat perumpamaan dan contoh supaya Kak Long dan Kak Ngah mudah faham. Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya :

“Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” ( Hadis riwayat Ibn Majah )

“Kertas putih dan majalah ini umpama hati manakala titik hitam pula umpama dosa. Syaitan akan selalu menghasut manusia untuk melakukan kejahatan dan maksiat kepada Allah. Ummi, ayah dan semua orang tak terlepas dari hasutannya. Kalau kita dah buat baik dan ikut perintah Allah sekalipun, Syaitan akan hasut supaya kita riya’, bangga diri dengan amalan baik tersebut.

HATI YANG BERSIH
“Akan tetapi, jika hati kita bersih seperti kertas putih ini, sekali sahaja terlintas perasaan riya’ dan bangga di dalam diri, kita akan mudah sedar dan segera meminta ampun dari Allah. Inilah hati orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Allah SWT berfirman di dalam al Quran yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka akan ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” ( Surah al A’raf ayat 201 )

“Tetapi, cuba Kak Long dan Kak Ngah bayangkan kalau hati kita ini penuh dengan warna hitam seperti majalah ini. Jangankan riya’, sikap sombong yang nampak secara lahir pun akan sulit untuk kita kesan dan insafi kerana hati yang penuh dosa….” tambah saya lagi.

“Sebab tu kalau hati kotor, orang mudah buat jahat ye Ummi?” Serius Kak Ngah bertanya untuk beroleh jawapan pasti.

“Ye. Sebab itu Ummi tak gembira bila Kak Long dan Kak Ngah main-main masa berzikir tadi. Salah satu cara untuk dapatkan hati yang bersih ialah dengan zikir. Allah suka sangat jika kita banyak mengingati Allah, menginsafi kebesaran Allah dan menyedari keagungan Allah. InsyaAllah, dengan selalu berzikir hati kita akan menjadi bersih, lembut, lebih halus dan lebih peka untuk menyedari kesilapan dan dosa yang kita lakukan terutama dalam hal-hal yang tersembunyi seperti penyakit-penyakit hati tadi,” saya mengakhiri kata-kata.

ANTARA DUA HATI
Saya menginsafi bahawa hati merupakan benteng keteguhan iman seorang manusia. Namun, apabila hati manusia telah mati dan tidak bersinar dengan cahaya hidayah, amat mudah bagi Syaitan menewaskannya di gelanggang mujahadah. Nafsu yang sentiasa mengajak kepada kemaksiatan menjadi bertambah kuat dengan bantuan Syaitan Laknatullah. Maka terbukalah pintu segala kejahatan ke dalam diri, kerana syaitan itu meresap ke jasad anak Adam sebagaimana mengalirnya darah di dalam tubuh. Kemanisan dan kelazatan beribadat tidak lagi dapat dirasakan. Tembok penghadang akan terbina, menghalang kepada masuknya cahaya ilmu dan iman.

Walau pun pengetahuan setinggi langit dunia, tetap saja ia tidak meresap ke dalam jiwa. Tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya. Inilah impak dari hati yang hitam dan berdebu dengan noda dan dosa.

Benarlah :

“Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” ( Surah al-Muthaffifiin ayat 14 )

Saya menyambung zikrullah, mengingati-Nya, membesarkan-Nya dengan sepenuh jiwa. Bermula dengan suara yang jelas ditelinga beralih semakin sayup menekan sukma. Bantulah kami Ya Allah untuk membersihkan hati. Menyisih segala mazmumah yang bersarang di dalamnya sehingga mampu kami bertemu-Mu kelak dengan keimanan yang sempurna, ameen.

“Orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman mereka.” ( Surah Al-Anfal ayat 2 )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment