Thursday 4 August 2011

Mendidik Anak Beriman Kepada Perkara yg Ghaib

 Sumber :

http://anakkusoleh.com/?p=405

Beberapa minggu lalu, dunia internet telah digemparkan dengan sebuah video yang merakamkan malaikat turun di atas kaabah. Dan tidak lama kemudian, muncul pula sebuah video lagi yang mengesahkan bahawa Video malaikat turun dari langit adalah rekaan semata-mata
Saya tertarik untuk menulis tentang perkara ini, kerana saya teringat  suatu kisah yang pernah terjadi pada saya suatu ketika dahulu..
Ada suatu masa, sekitar tahun 2009, saya begitu teruja untuk menunjukkan kepada suami saya sebuah video tentang keajaiban berlaku apabila masyarakat setempat beramai-ramai mengucapkan Laailaahaillah. Samada video itu sahih atau pun tidak, wallahua’lam. Dalam keterujaan saya bercerita, lantas suami saya melarang saya daripada melihat video seperti itu lagi. Saya bertanya kepadanya, “kenapa bang?” (sepatutnya, bila suami kata tak boleh tu, taat je lah..Tapi inilah, isteri akhir zaman..Sabo je la ;-)  )
Jawapan yang suami saya berikan ringkas sahaja;
“Bukankah kita diperintahkan untuk beriman kepada perkara yang ghaib?”
Jawapan yang ringkas itu telah menusuk ke dalam hati saya, menyebabkan saya berfikir panjang, lalu terus mengucapkan syahadah dan istighfar.
Benar, duhai suamiku. Kita wajib beriman kepada perkara yang ghaib.
Kita wajib beriman dengan Allah, walaupun kita tidak dapat melihatnya.
Kita wajib beriman dengan Malaikat, walaupun kita tidak pernah melihatnya.
Kita wajib beriman dengan adanya syurga dan neraka, walaupun kita tidak pernah berpeluang untuk melihatnya apatah lagi mencium baunya.
Sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al Baqarah: ayat 1 – 5.
albaqarah1-5
Maksud ayat yg bergaris merah:
(Orang-orang) yang beriman kepada perkara yang ghaib… (3)
…. dan mereka itulah orang-orang yang BERJAYA (5)
Maka oleh sebab itu, untuk menjadi orang yang berjaya, salah satu ciri-cirinya ialah, kita wajib beriman kepada yang ghaib.
Ketika Firaun laknatullah sedang terumbang ambing di dalam laut (setelah laut yang terbelah, bercantum semula), dia telah berkata kepada Nabi Musa a.s; “Wahai Musa, aku beriman kepada Tuhanmu”. Walaupun dia telah menyatakan keimanannya, namun taubatnya tidak diterima oleh Allah swt kerana dia tidak beriman kepada perkara yang ghaib, tetapi dia hanya beriman apabila malapetaka berlaku benar-benar di hadapan matanya.
Kita berdoa kepada Allah swt semoga kita diberikan keimanan kepada perkara yang ghaib, kerana itulah kehendak Allah swt ke atas diri kita. Dan kita wajib didik anak-anak kita untuk beriman kepada perkara yang ghaib juga.
Jadi, bagaimana caranya?
Perbanyakkanlah bercerita tentang kebesaran Allah swt kepada anak-anak kita.
Sekiranya kita tidak usahakan iman anak-anak kita, mereka hanya akan tahu bahawa ultraman dan doraemon sahaja yang berkuasa. :-?
Kita perlu banyak bercerita tentang kebesaran Allah kepada mereka, melebihi daripada tv bercerita tentang kebesaran makhluk kepada mereka.
Sewaktu sedang makan, kita boleh cerita kebesaran Allah.
Sewaktu sedang bermain, kita boleh cerita kebesaran Allah.
Sebelum tidur, kita boleh ceritakan tentang kebesaran Allah dalam kisah-kisah Nabi dan para sahabat.
Di mana kita boleh dapatkan sumber cerita-cerita perkara ghaib ini?
Ya, sumber yang terbaik adalah Al Quran dan Hadis. Di dalamnya terkandung jutaan mungkin berbilion kebesaran Allah swt. Di dalam ayatul Qursi sahaja sudah mengandungi bermacam-macam kuasa Allah. Gunakanlah sumber yang diberikan oleh Allah swt ini untuk menghayati dan mendidik anak-anak kita tentang kebesaran Allah.
Sahabat-sahabatku yang dikasihi Allah,
Sebagai ibubapa, kita kena pastikan, anak-anak kita hanya beriman dan yakin HANYA pada Allah. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Tidak ada yang berkuasa melainkan Allah.
Dan kita perlu teruskan usaha, sampailah terkeluar daripada mulut anak kita, Allah yang berkuasa. Allah sahaja yang berkuasa. Ultraman, doraemon, dll semua tak ada kuasa. :-D
Walaupun anak kita sudah pandai berkata seperti itu, kita tetap teruskan lagi bercerita dan bercerita tentang kebesaran Allah swt, sehinggalah dia dewasa. Setiap hari, kita hanya bercerita tentang kebesaran Allah swt kepadanya. Sampaikan satu saat, kita boleh bertukar-tukar cerita tentang kebesaran Allah dengan anak kita.
Kesannya, anak kita akan dapat me”rasa”kan, ke mana sahaja dia pergi, Allah swt akan sentiasa bersama-sama dengannya. Walaupun dia tidak pernah melihat Allah swt. Walaupun dia tidak pernah disapa oleh Allah swt. Walaupun dia tidak pernah melihat video kewujudan Allah.
Namun dalam hatinya, anak-anak kita hanya yakin 1 perkara..bahawa Allah lah yang Maha Berkuasa. Allah Maha Kuasa. Allah Maha Kuasa.
Begitu jugalah dengan perkara-perkara ghaib yang lain, seperti syurga dan neraka, malaikat, hari kiamat, qada & qadar. Kita perlu ceritakan sebanyak-banyaknya kepada mereka, supaya iman kita dan iman mereka akan terus meningkat.
InsyaAllah, mari kita terus usahakan iman anak-anak kita…..terus berusaha..sampai saat Allah swt memanggil  kita untuk menghadapNya.
Wallahua’lam
Ummu Solihin

No comments:

Post a Comment