Tuesday 9 August 2011

Apakah Perkara Yang Penting Untuk Anak Kita?

Apakah perkara terpenting untuk anak-anak kita. Tidak dinafikan, semua ibu dan bapa tahu untuk menyediakan santapan fizikal–makanan dan minuman. 

Namun, hakikatnya, ibu dan bapa tidak boleh hanya pandai memberi makan minum serta pakaian kepada anak-anak, bahkan mereka seharusnya lebih tahu untuk memberikan santapan jiwa yang boleh menjamin kebahagiaan di akhirat kelak.
Hari ini ramai ibu dan bapa yang mampu memberikan segala macam kemahuan anak-anak seperti makan yang enak, hiburan yang menyeronokkan, percutian yang mewah, serta kemudahan seperti telefon bimbit dan pakaian yang cantik-cantik. 

Namun berapa ramai yang berupaya menghidangkan anak-anak dengan santapan jiwa dan asuhan agama agar rohaninya berasa puas dan tenang dengan panduan Ilahi.

Ramai juga ibu bapa yang dapat menyediakan rumah sebagai tempat perlindungan yang tersergam mewah, selesa dan lapang, namun gagal untuk melindungi anaknya dari jilatan api neraka yang mengganas. Tidak kurang juga ibu bapa yang dapat menggajikan pembantu-pembantu yang dapat memenuhi segala macam keperluan si anak duniawi, namun amat sedikit ibu bapa yang menyediakan guru yang dapat membimbing anak-anak bagi memenuhi tuntutan ukhrawi.

Demi mengejar keputusan peperiksaan yang cemerlang dalam kegilaan persaingan dunia akademik persekolahan, ramai ibu dan bapa yang sanggup berbelanja besar menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan. Tidak cukup dengan kelas tambahan petang dan malam, dihantar pula ke kelas tambahan hujung minggu. Malah ditambah pula dengan segala macam bengkel strategi peperiksaan dan menjawab soalan.

Namun agak sukar mencari ibu bapa yang cakna untuk menghantar anaknya kepada guru yang mampu memperbetulkan solat, membaiki bacaan al-Quran serta mendidik adab yang Islami. Sedangkan program pendidikan Islam yang memupuk akhlak serta mendekatkan anak-anak dengan Islam amat penting untuk masa depan anak-anak itu.

Rasulullah SAW dalam riwayat Tarmizi bersabda:
Maksudnya:
"Tiada pemberian daripada seorang ayah yang lebih baik daripada adab yang mulia"
Dalam sabda lain melalui riwayat Al-Tabarani, Baginda SAW menyebut, maksudnya: "Lengkapkan anak-anak mu dengan tiga perkara: Cintakan Nabi kamu, cintakan ahli keluarga Nabi dan membaca al-Quran."

Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa, golongan terdahulu dalam sejarah Islam telah menunjukkan contoh kesungguhan mendidik anak-anak melalui guru-guru yang soleh dan baik. Beliau membawa contoh dari kitab Muqaddimah Ibn Khaldun yang menyebut: Bahawasanya Harun Al-Rasyid, apabila menyerahkan puteranya Al-Amin kepada pendidiknya, telah berkata:

"Wahai Ahmar! Sesungguhnya Amirul Mukminin telah menyerahkan kepada mu buah hatinya, maka letakkan tangan mu ke atasnya dengan lemah lembut, dan ketaatan mu kepadanya wajib, letakkan dirimu kepadanya, seperti engkau meletakkan diri mu kepada Amirul Mukminin. Ajarkan dia membaca al-Quran, dan kenalkanlah dia dengan sejarah, pupuklah dia dengan syair-syair, penuhkanlah dadanya dengan Hadis-hadis Nabi, tunjukkilah dia cara-cara bertutur, dan jarangkanlah dia dari ketawa melainkan pada waktu yang sesuai, dan jangan sampai berlalu satu saat pun melainkan engkau asakkanlah dia dengan perkara-perkara yang berfaedah tanpa menyusahkannya, kelak akan mati pula otakknya, dan jangan terlalu beringan-ringan untuk memberikannya masa lapang, kelak dia akan merasa sedap dan sentiasa ingin berlapang-lapang, dan luruskan dia sekadar yang termampu dengan mendekatkan diri kepadanya, dan dengan lemah lembut, tetapi jika dia menolak sikap ini, maka hendaklah engkau mengambil sikap tegas dan keras."

Demikianlah pesanan panjang Khalifah Harun AL-Rasyid kepada guru anaknya. Apa yang penting, kita dapat menceduk pengalaman silam ini untuk menjadi kayu ukur kepada keperluan pendidikan anak pada hari ini.

Mudah-mudahan kita benar-benar arif dengan KEPERLUAN sebenar anak-anak kita, agar kita dapat bersua dengannya si syurga nanti. Amin.

No comments:

Post a Comment